Thursday, 5 January 2012

Anwar dipenjara, Siapa Jadi Pengganti?

Ketua pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam berkata Pakatan Rakyat (PR) telah memutuskan penggantinya yang bakal mengetuai pakatan pembangkang itu jika beliau didapati bersalah dan dihukum penjara dalam kes liwat keduanya yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, minggu depan.

Keputusan mahkamah itu dibuat menjelang satu pilihan raya umum ke-13 negara itu yang dijadualkan diadakan tahun ini.

Datuk Seri Anwar, bagaimanapun, tidak menamakan pengganti beliau itu dalam satu wawancara dengan agensi berita Bloomberg News, semalam.

'Kami sudah menyiapkan persediaan asas bagi sebuah manifesto bagi Pakatan Rakyat dan kami kini sedang dalam tahap-tahap akhir,' kata beliau semasa diwawancara oleh Bloomberg.

'Kami telah memutuskan perihal kepimpinan semasa pilihan raya atau selepas pilihan raya nanti jika saya dipenjarakan,' tambahnya.

Datuk Seri Anwar berkata ia merupakan sebahagian daripada rancangan luar jangka PR jika beliau diputuskan menjalani hukuman penjara sekali lagi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memberi keputusannya berhubungan perbicaraan kes liwat kedua yang membabitkan Datuk Seri Anwar, Isnin ini.

Beliau boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium mewah di Bukit Damansara, pada Jun 2008.

Kelmarin, pihak kepimpinan PR juga berkata ia telah bersiap sedia jika Datuk Seri Anwar diputuskan masuk penjara minggu depan.

'Pihak kepimpinan Pakatan, bukan sahaja saya dan (Datuk Seri Wan) Azizah (Wan Ismail) malah juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Encik Lim Kit Siang telah membincangkan beberapa senario... jika saya dipenjara, terbabit dalam kemalangan atau ditembak, kami sudah bersedia membincangkan pelbagai kemungkinan, senario satu, dua, tiga,' kata Datuk Seri Anwar kepada wartawan, kelmarin.

Seorang pengamat yang dipetik Bloomberg dalam laporannya semalam, berkata parti-parti PR akan meraih manfaat di kotak undi jika Datuk Seri Anwar didapati bersalah.

'Peralihan segera mungkin berlaku ke arah beliau (Datuk Seri Anwar) dan partinya,' kata Encik Ibrahim Suffian, seorang pengamat politik dari Merdeka Center for Opinion Research, yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

'Jika Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengambil masa beberapa bulan sebelum mengadakan pilihan raya, ia akan membuka ruang timbulnya kelemahan dalam pakatan pembangkang dan apa-apa sahaja perbezaan pandangan boleh dieksploitasi (pihaknya),' tambahnya. -- Agensi.

Komen Anda

0 Responses to "Anwar dipenjara, Siapa Jadi Pengganti?"