Tuesday, 3 January 2012

Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik masuk Umno

http://2.bp.blogspot.com/-yTEJNqnOWhA/TudnoLcDbNI/AAAAAAAAAGI/RZgpnBpOl54/s1600/boboi-maharaja-lawak-mega.jpgPenghibur popular, Afdlin Shauki Aksan, mengakui beliau mengagumi gaya kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sehingga membuat keputusan untuk secara rasmi menyertai Umno.

"Saya tertarik dengan (program) transformasi yang dibawa oleh perdana menteri benar-benar memikat hati saya. Oleh itu saya membuat keputusan mahu menyertai Umno secara rasmi dan secara tidak langsung ingin menyumbangkan tenaga dan buah fikiran demi pembangunan negara serta kemajuan industri hiburan," kata Afdlin Shauki, 40.

Afdlin bersama pelakon komedi merangkap Presiden Seniman Harun Salim Bachik atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid bin Salim telah menyerahkan borang keahlian mereka menyertai Umno di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-duanya menjadi popular dengan membawa watak lucu "Kumpulan Boboi" yang menduduki tempat kedua dalam pertandingan komedi Maharaja Lawak Mega 2011 yang berakhir baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau bimbang kehilangan peminat selepas menyertai Umno, Adflin Shauki berkata: “Saya masih seperti dulu, seorang pelawak, pengarah dan penyanyi walaupun telah jadi ahli Umno secara rasmi.

"Saya memang penyokong tetap kerajaan Umno cuma kali ini saya memberitahu secara rasmi pendirian saya di dalam parti politik."

Harun, 52, pula berkata peminat seharusnya menilai hasil karya mereka dan bukan kerana mereka telah menjadi ahli Umno.

“Saya berharap perkara ini tidak akan dipolitikkan kerana kami ikhlas untuk menjadi ahli Umno. Apa yang kami lakukan hari ini adalah atas kesedaran tanggungjawab kami sebagai rakyat Malaysia dan harapan kami agar kami akan dapat sama-sama membantu negara serta dapat memajukan lagi industri hiburan.

“Sekiranya ada yang mula berkata-kata bahawa kami masuk Umno kerana mahu mencari rezeki lebih, itu salah sama sekali kerana rezeki adalah ketentuan Allah dan bukan kerana kami masuk Umno," katanya.

Borang keahlian mereka telah diterima oleh Setiausaha Kerja Umno pusat Datuk Ab Rauf Yusoh dan kedua-dua mereka akan menjadi ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang.

Sementara itu, Ab Rauf berkata golongan artis yang menyertai parti Umno telah menjadi ikon dan membawa pengaruh mereka kepada peminat di luar sana untuk turut serta menyokong Umno.

Kini terdapat 40 orang ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang yang terdiri daripada kalangan artis, antaranya Tan Sri Jins Shamsudin dan Jamal Abdillah.

- Bernama

Komen Anda

0 Responses to "Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik masuk Umno"