Friday, 27 January 2012

1,200 pembeli rumah ditipu


Kira-kira 1,200 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Pulau Indah, Klang berada dalam dilema apabila rumah yang dibeli sejak 1999 masih belum dapat didiami.

Paling menyedihkan sebahagian mereka kini telah diisytiharkan muflis dan disenarai hitam akibat kegagalan melunaskan bayaran pinjaman kepada pihak bank.

Lebih mengecewakan lagi, para pembeli tersebut berasa teraniaya dan mendakwa kemungkinan wujudnya komplot yang dilakukan oleh beberapa pihak dalam urusan penjualan perumahan tersebut.

Wakil pembeli projek perumahan itu, Anuar Ibrahim, 41, komplot itu timbul apabila mendakwa pemaju telah menjual perumahan tersebut tanpa mendapat arahan pembangunan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Kami ditipu selama ini apabila pemaju menggunakan nama MPK sebagai 'batu loncatan' bahawa projek tersebut telah diluluskan dengan menyertakan surat pengesahan dari pihak berkuasa tersebut.

"Tapak tanah yang dibangunkan juga adalah berstatus pertanian yang tidak pernah ditukar kepada status kediaman," dedahnya lagi ketika ditemui di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Anuar mendakwa pihak bank meluluskan bayaran penuh kepada pemaju tanpa mengikuti perkembangan kerja-kerja pembinaan pangsapuri yang terbengkalai itu walaupun mengikut jadual sepatutnya siap pada tahun 2003.

-Kosmo

Komen Anda

0 Responses to "1,200 pembeli rumah ditipu"