Tuesday, 13 December 2011

Utusan nak selamatkan siapa?

http://img.malaysiaharmoni.com/v2/artikel/20110513_utusan.jpgLidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, yang tidak mahu kerajaan pusat melaksanakan hukum hudud serta menolak konsep negara Islam, sering mencari salah PAS yang kononnya dituduh tidak Islamik.

Yang sering menjadi mangsa Utusan dan suara pengarang besarnya “Awang Selamat’, adalah Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan yang lebih 20 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri.

Dari tuduhan rasuah kepada cacian hingga kepada PAS Kelantan hanya membina sebuah masjid sepanjang pentadbirannya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, fitnah telah menjadi amalan lazim pimpinan UMNO dan konco-konco mereka seperti pecacai siber upahan dan Utusan.

Sebuah masjid sebagai modal politik

Jika benar sekali pun kerajaan Kelantan sepanjang tempoh pemerintahan PAS hanya membina sebuah masjid seperti yang dijerit-jeritkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, ia sebenarnya menunjukkan bahawa Islam bukan soal membina banyak bangunan atau mahu menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

Yang penting ialah pengisian. Dan mungkin para pemimpin UMNO lupa bahawa pengisian, pelaksanaan dan amalan itu menjadi inspirasi untuk rakyat Kelantan mengekalkan pentadbiran PAS selama lebih 20 tahun.

Ini jelas menunjukkan bahawa Kelantan yang digelar serambi Makkah tidak perlu membazirkan wang cukai rakyat Kelantan untuk membina masjid secara berlebih-lebihan, apatah lagi dalam keadaan yang sudah pun lebih dari mencukupi.

Selain infrastruktur, kerajaan juga wajib membantu rakyat dalam pelbagai aspek penting yang lain. Hal pendapatan rakyat, kebajikan rakyat dan bantuan memerlukan perhatian dan pelaksanaan kerajaan.

Tidak bermakna jika negeri penuh dengan masjid maka kita sudah boleh diiktiraf sebagai telah membela Islam atau telah mentadbir mengikut lunas-lunas kebenaran seperti yang dianjurkan oleh Islam. Pandangan seperti ini adalah tidak lengkap sama sekali.

Malah jika masjid hanya gah dengan jumlah dan perhiasannya tanpa ada pengisian, sama ada dengan aktitivi mahu pun manusia yang beribadah, apa gunanya? Apa perlu kita habis berjuta ringgit untuk membina masjid mewah jika jemaahnya tiada? Apa guna jika masjid itu tidak diimarahkan? Dari mana pula kita boleh mendapat pahala ibadah jika ia sekadar menjadi monumen untuk tarikan pelancong?

Tohmahan terhadap PAS

Jika PAS menjawab dalam isu masjid itu, pasti UMNO akan lekas-lekas mendakwa PAS sudah tidak memperjuangkan Islam. Malah lebih teruk lagi, PAS sudah digambarkan sebagai kuda tunggangan DAP.

UMNO akan memukul canang kepada rakyat ke hulu ke hilir, siang dan malam untuk menggambarkan yang kononnya PAS sudah lari dari perjuangan asal. Begitulah mudahnya formula UMNO yang semakin terdesak menjelang pilihan raya umum ke-13.

Pelik tapi benar, UMNO begitu mendesak dan mencabar PAS melaksanakan hukum hudud sedangkan UMNO yang lebih lama berkuasa dan mendakwa merekalah pejuang Islam yang tulen, secara terang-terang membantah perlaksanaan hudud. Bukankah sikap UMNO ini sungguh pelik dan hipokrit.

Daripada sibuk mempersoalkan PAS atau DAP, sepatutnya UMNO menjelaskan kepada ahli-ahlinya sama ada UMNO itu parti sekular, parti Islam atau parti apa. Kasihan ahli dan pengikut UMNO yang masih kabur tentang perjuangan parti mereka yang sudah tentu tidak sama lagi dengan perjuangan asal 1946.

Ramai ahli UMNO hari ini hanya dapat melihat kerakusan pemimpin mereka menyapu bersih segala kontrak, projek dan program. Sehinggakan amanah menternak lembu untuk menyediakan daging kepada rakyat telah dipecahkan untuk membeli kondominium mewah. Betapa sakitnya hati akar umbi UMNO melihat gelagat pimpinan mereka.

Tohmahan terhadap DAP

Serangan Utusan terhadap DAP semakin menjadi-jadi sehingga banyak tohmahan tidak masuk akal sama sekali. Apa yang cuba dilakukan ialah mengajak orang Melayu membenci DAP dengan hasutan hasad dengki yang belum pernah dilihat sejak penubuhan DAP 45 tahun lalu.

DAP dalam garis politiknya yang sudah terang lagi bersuluh, tidak malu dan tidak pula bongkak dengan prinsip demokrasi sosial. Ia tidak malu mengaku ia adalah parti sekular yang tidak mahu agama diperalatkan oleh politik.

Ia tetap dan akan terus mendukung semangat Perlembagaan Persekutuan. DAP merestui agama Islam sebagai agama persekutuan, mendukung Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan mendaulatkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Malah, ia menerima Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa Melayu serta hak-hak semua kaum di negara ini. Ini penting kerana ada pihak-pihak tertentu yang hanya mahu menggunakan peruntukan Perlembagaan ini untuk kepentingan agenda satu kaum, sedangkan artikel itu jelas dalam jaminan untuk semua kaum.

Kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat, baik kepada PAS mahu pun PKR adalah satu ikatan yang berasaskan kepercayaan kepada sistem yang adil dan saksama demi kesejahteraan rakyat.

Amanah rakyat yang dipikul adalah untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira warna kulit atau agama. Sistem pemerintahan yang DAP melalui kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah bukti ia dilaksanakan berteraskan keadilan sejagat.

DAP tidak menggunakan agama sebagai modal untuk merasuah minda dan keyakinan rakyat. DAP tidak memanipulasi sentimen perkauman untuk membeli undi rakyat. DAP tidak berjuang di atas platform kepura-puraan politik.

Dan DAP tidak menutup masalah yang dihadapinya daripada khalayak umum. Soal perbezaan pendapat, pertembungan ego pemimpin dan perbalahan dalam apa-apa isu terpapar jelas. Ia adalah petanda kematangan politik.

DAP menawarkan manifesto pemerintahan yang cekap, akauntabel dan telus (CAT) kepada rakyat Malaysia. Tanpa nilai-nilai ini, kita hanya akan menjual ilusi kepada rakyat, seperti mana yang diperbuat oleh elit-elit UMNO demi mengekalkan kuasa mereka.

Bagi pimpinan UMNO, kuasa bermakna wang. Tanpa kuasa, harta dan wang ringgit, mereka merasakan diri tidak akan selamat. Adakah itu yang mahu diselamatkan oleh Utusan dan Awang Selamat?

– Roketkini.com

Komen Anda

0 Responses to "Utusan nak selamatkan siapa?"