Wednesday, 7 December 2011

Umno bukan parti berteraskan agama

KOTA KINABALU: Penolong Setiausaha Umno Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, parti Umno bukan parti agama kerana di Sabah parti itu turut dianggotai oleh bumiputera bukan Islam.

“Dalam konteks Sabah, memang betul Umno bukan parti rasis, kerana kalau kita lihat, apabila Umno membuka cawangan di negeri ini, keahliannya terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum bumiputera Sino Kadazan dan Dusun bukan Islam.

“Malah di tempat kami sendiri di Ranau, Bendaharinya adalah Sino Dusun dan nama Cina,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak bina Bangunan Konservasi Balai Seni Lukis Sabah di Batu 2, Jalan Penampang, di sini, kelmarin.

Masidi yang juga Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan bahawa Umno bukanlah sebuah parti rasis malah ia adalah pencetus dan perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum dan telah mencipta kestabilan sosial.

Perdana Menteri itu dipetik sebagai berkata, Umno juga telah membawa kemakmuran nasional sejak dahulu lagi menerusi kerjasama dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik melalui gabungan Umno, MCA dan MIC dalam Parti Perikatan.

Masidi berkata, apabila Umno sampai ke Sabah, parti itu sendiri dari segi identiti dan gerak kerjanya sudah bertukar kerana komposisi kaum di negeri ini adalah berlainan daripada Semenanjung.

“Kalau di Sememanjung, biasanya Melayu itu Islam tetapi di Sabah, ada bumiputera Islam dan bukan Islam … ia secara tidak langsung menjadikan Umno itu lebih bersifat nasional.

“Misalnya di Ranau, satu pertiga daripada ahli Umno seramai 20,000 adalah bumiputera atau Dusun yang bukan Islam iaitu Kristian dan sambutannya amat baik kerana kita bersikap adil,” katanya.

Masidi berkata, kejayaan atau kemunduran sesuatu parti itu bukan ditentukan oleh nama parti itu sebaliknya ditentukan oleh cara kepimpinan dan sikap pemimpin itu sendiri.

“Ini kerana parti adalah ciptaan manusia dan bukan ciptaan Tuhan. Kita boleh panggil apa sahaja nama parti misalnya kita panggil nama “Parti Emas” tapi kalau tidak dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat, tiada guna kita panggil “Parti Emas”.

“Begitu juga dengan Umno, walaupun ada perkataan “Melayu” tetapi apa yang terjadi ialah kita berkhidmat untuk semua kaum.

“Bagi saya, parti itu hanya satu wadah untuk kita meneruskan khidmat kepada masyarakat kerana parti itu sendiri bukan agama,” katanya.


-New Sabah Times

Komen Anda

0 Responses to "Umno bukan parti berteraskan agama"