Sunday, 4 December 2011

Tunggu Fatwa : SPR Cipta Alasan Baru?

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata alasan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersedia menggunakan dakwat kekal pada pilihanraya umum akan datang tetapi perlu menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan adalah satu yang aneh.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, sedangan pada tahun 2008 penggunaan dakwat kekal telah diluluskan malah telah mempunyai kelulusan daripada Majlis Fatwa.

"Alasan SPR itu satu yang aneh serta menunjukkan sikap dolak dalik mereka untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum yang akan datang.

"Selain itu juga ia mempunyai motif tersendiri untuk cari alasan agar penggunaan dakwat kekal tidak dilaksanakan, kenapa kena tunggu kelulusan dari Majlis Fatwa sedangkan pada tahun 2008 sebanyak RM2.4 juta telah dibelanjakan untuk membeli dakwat kekal.

"Malah kelulusan Majlis Fatwa sudah diperolehi tetapi mereka mencipta alasan lain untuk menolak penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya tahun 2008," jelasnya.

Dalam pada itu Saifuddin memberitahu, SPR tidak perlu membangkitkan hal-hal sedemikian kerana perkara itu telah dibincangkan semasa pendengaran awam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

"Perkara tersebut telah dibincangkan semasa pendengaran awam PSC yang turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan ia tidak perlu timbul sekarang.

"Nampaknya SPR tidak bersedia untuk melaksanakannya serta menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil," ujarnya.

Tambahnya lagi, desakan yang dilakukan oleh Bersih 2.0 dan juga Pakatan Rakyat telah menunjukkan hasil yang baik di mana sewaktu perbahasan laporan awal cadangan PSC di Dewan Rakyat semalam menunjukkan cadangan pertama penambahbaikan pilihanraya adalah penggunaan dakwat kekal.

"Persetujuan telah diperolehi dan perbahasan semalam juga telah meluluskan apa yang dicadangkan oleh PSC jadi kena SPR ingin berdolak dalik.

"Pakatan Rakyat mendesak agar SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum ketiga belas nanti (PRU13) dan apa yang dibincangkan semasa pendengaran awam PSC, SPR hanya memberitahu memerlukan dua bulan untuk proses tenpahan dan pembelian dakwat kekal.

"Pakatan Rakyat berpendapat alasan itu cukup aneh dan tidak boleh diterima pakai," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang tetapi akan menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah Setiausaha SPR, Kamaruddin Ahmad Baria memaklumkan bahawa mereka sedia menggunakan dakwat kekal dan sedang menunggu kelulusan terakhir daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan bahan yang digunakan dalam dakwat itu mematuhi kehendak syariah.-HD

Komen Anda

0 Responses to "Tunggu Fatwa : SPR Cipta Alasan Baru?"