Wednesday, 28 December 2011

PRU 13 : Lajim Bakal Disingkirkan?

JANANG Gayuh, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Okin yang pernah mengkhianati perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membolehkan UMNO memerintah Sabah mungkin bakal ditimpa ‘Hukum Karma’ kerana akan dipinggirkan Barisan Nasional pada pilihanraya umum akan datang; ibarat kata bidalan, ‘Dari Sampah Kepada Sampah!’

Jasa Lajim terhadap UMNO semakin sirna bagaikan ombak yang berarus deras tetapi hancur ketika menghempas pantai kerana khidmatnya tidak diperlukan lagi di era Najib menjadi Perdana Menteri, disebabkan ‘Transformasi’ adalah kata kunci yang mencipta kejayaan.

Walaupun saya berbangsa Bisaya, tetapi tidak boleh dijinakkan oleh Lajim yang menggunakan Persatuan Bisaya untuk kepentingan politik beliau, sedangkan masa hadapan kami terus diperjudikan di kasino.

Sebagai pemilih berdaftar, saya tidak boleh tidur lena selepas membaham ‘ambuyat’ (kanji daripada sagu rumbia) kerana di hadapan mata saya Beaufort bakal menjadi ‘Bandar Transformasi’ termaju di Sabah mengalahkan POIC di Lahad Datu kerana sejumlah RM45 Bilion dilabur di Projek Bersepadu Minyak dan Gas di Kimanis. Apalah sangat Projek Gula Sabah jika dibandingkan dengan projek mega ini.

Pelaburan ini adalah 10 peratus daripada Keluaran Negara Kasar Negara (GDP) dan Beaufort memerlukan seorang pemimpin yang dinamik, berintegriti, berdaya tahan dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memastikan Pelan Transformasi Ekonomi mencipta ruang dan peluang kepada penduduk Beaufort yang terketinggalan serba serbi.

Cukuplah peluang yang diberikan kepada Lajim selama ini kerana beliau hanyalah seorang ‘Desperado’ yang menubuhkan Persatuan Bisaya untuk menonjolkan diri sebagai Pemimpin Agung yang menunggu peluang untuk dipanggil Ketua Menteri atau Ketua Menteri dengan pujukan dan tawaran; sebagaimana sejarah pengkhianatan beliau terhadap PBS pada 1994. Impian Desperado ini tidak mungkin berulang!

Dengan pelaburan Projek Gas Bersepadu bernilai RM45 Bilion di Kimanis dan Beaufort; Lajim tidak mampu mengikut jejak langkah ‘Aman Bersaudara’, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Seri Anifah Aman yang menjadi ‘arkitek’ dan memacu pembangunan pesat di Bandar Transformasi ini melalui SEDIA dan SDC.

Kehebatan Anifah Aman sebagai Pengerusi Task Force Projek Gas di Kimanis telah berjaya menjinakkan Petronas yang sebelum ini bagaikan ‘Anjing Liar’ yang suka merebut segala harta kepada penjaga harta dan memulangkan kembali kepada rakyat Sabah dalam bentuk pembangunan berkala yang berkekalan.

Sebagai pendesak berintegriti, Anifah telah berjaya memujuk Petronas agar prihatin dengan nasib dan masa hadapan rakyat Sabah terutama di Kimanis dan Beaufort yang selama ini bagaikan anak ayam kehilangan ibu; semata-mata pemimpinnya terlalu berpolitik daripada bekerja.

Walaupun Perdana Menteri telah memaju ekonomi Malaysia melalui pelbagai Pelan Transformasi Ekonomi dan Sabah mencatat Bajet tertinggi dalam sejarah; namun pemimpin berideologi lama seperti Lajim tidak dapat mengejar kemajuan dan gagal menjadi pencetus idea baru untuk menjadikan Beaufort sebagai Bandar Transformasi di Sabah.

Kini tibalah masanya Lajim berundur daripada politik atau menghabiskan sisa usianya dengan kesihatan yang dikurniakan Illahi, untuk meneruskan perjuangan sebagai NGO dan meninggalkan hasratnya untuk memimpin Sabah People Front (SPF) yang diwar-warkan sejak seminggu lalu.

Lajim sewajarnya memberi peluang kepada pemimpin pelapis menggantikan beliau dan menghargai jasa UMNO dengan membantu ‘Aman Bersaudara’ memajukan Sabah, sekalipun beliau banyak mendapat projek NKRA daripada ‘Mentor’ Beliau, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Oleh : JIKIRUN YUSMAN (sabahkini)

Komen Anda

0 Responses to "PRU 13 : Lajim Bakal Disingkirkan?"