Saturday, 10 December 2011

Menteri kecewa HEP UM halang debat mahasiswa

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) kesal dengan tindakan pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang memberhentikan debat pelajar yang berlangsung di Fakuliti Undang-undang kampus itu malam tadi.

Menzahirkan rasa kecewa itu melalui laman twitternya, Saifuddin berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

"Saya dukacita debat AUKU di UM malam tadi terbatal ketika ia sedang diadakan. Saya sedang menyiasatnya," tulisnya ringkas.

Dalam kejadian malam tadi, debat anjuran Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu diganggu oleh pengurusan UM dan terpaksa dibatalkan ketika sedang memasuki pusingan kedua.

Menurut Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Khairul Naim berkata, pihaknya begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch”.

Debat malam tadi mempertemukan Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia.

Debat itu berkisar tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Autonomi Mahasiswa.

Menurut Khairul, beberapa pengawal keselamatan dan “special branch” telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.

“Ketika itu juga lampu telah ditutup beberapa kali, namun pengajur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Syahid untuk keluar berunding.

“Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof,” kata beliau lagi.

-HD

Komen Anda

0 Responses to "Menteri kecewa HEP UM halang debat mahasiswa"