Saturday, 17 December 2011

Ekonomikan rakyat: RM500 diberi, RM250 juta dilembukan

Legasi gerakan Reformasi yang bermula pada tahun 1998 terserlah apabila bumi Malaysia menyaksikan tiga perhimpunan massa penuh bermakna pada tahun 2007 - perarakan peguam, HINDRAF dan BERSIH - sehingga membawa kepada tsunami politik semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12).

Impak gerakan massa yang bermula ekoran penganiayaan secara melampau terhadap seorang Timbalan Perdana Menteri oleh seorang Perdana Menteri demi kelangsungan hayat diri, keluarga dan UMNO-putra semasa krisis kewangan melanda Asia masih terasa hari ini khususnya apabila perhimpunan BERSIH 2.0 mengambil bentuk gerakan massa sebagai kesinambungan semangat rakyat berhimpun demi sesuatu agenda yang membawa kemajuan kepada masyarakat dan bumi Malaysia.

Dengan kata lain, gerakan Reformasi berkembang menjangkaui penganiayaan seorang insan dan memuncak sebagai gerakan massa yang mahukan perubahan dan pembaharuan secara dasar bumi Malaysia.

Makna lebih penting yang dikongsi bersama oleh gerakan Reformasi dan BERSIH 2.0 ialah perubahan mendalam yang melibatkan agenda merentasi kepentingan kaum dan manifestasi hak asasi manusia khususnya hak berhimpun, berorganisasi dan bersuara sejajar dengan semangat zaman (zeitgeist).

Semangat zaman ialah senjata paling kuat yang berada dalam genggaman tangan rakyat jelata apabila berlaku penindasan atau ketidakadilan sosial. Sejarah tamadun manusia banyak memaparkan pemberontakan rakyat jelata yang tertekan. Dunia hari ini juga menyaksikan insiden-insiden seumpama khususnya kerana penindasan pemerintah bersifat kuku besi dan menyeleweng wang rakyat atau kegagalan elit berkepentingan dalam menguruskan ekonomi negara. Daripada gerakan rakyat mengguling pemerintah korup yang bermula di Tunisia dan Mesir kepada gerakan "Occupy Wall Street" yang bermula di Amerika Syarikat dan menular ke merata tempat di bumi ini, hak asasi manusia kini terjelma dalam bentuk gerakan massa yang tidak terhad kepada tuntutan politik.

Sesungguhnya, tuntutan ekonomi melalui gerakan massa sedang berkembang dalam konteks di mana kehidupan rakyat jelata semakin perit dalam banyak negara ketika krisis ekonomi yang bermula di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah memberi kesan negatif kepada negara lain termasuk Malaysia. Dr.Yılmaz Akyüz, bekas Ketua Ahli Ekonomi dan Pengarah, Bahagian Globalisasi dan Strategi Pembangunan di UNCTAD, dalam recana "The Global Economic Crisis and Asian Developing Countries: Impact, Policy Response and Medium-Term Prospects" menunjukkan bahawa, semenjak krisis kewangan Asia 1997/98, ekonomi Malaysia biarpun mengalami pertumbuhan tetapi pertumbuhan sebenar tidak mampu mencecah paras pertumbuhan sebelum krisis tersebut.

Menurut Dr.Yılmaz Akyüz, purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Malaysia sepanjang tahun 1991-2000 ialah 7.1%, lebih tinggi daripada purata dunia iaitu 3.1%, tetapi purata KDNK sepanjang tahun 2002-2007 ialah 5.9%, biarpun lebih tinggi daripada purata dunia iaitu 4.4%, masih jauh lebih rendah berbanding purata KDNK sebelum krisis. Kemudian, Malaysia telah berdepan dengan krisis ekonomi sedunia 2008/09 dan ketidaktentuan yang besar dalam tempoh setengah tahun akan datang, apakah sebuah parti pemerintah yang begitu ghairah dengan kerja melembukan kekayaan negara mampu mengurus ekonomi negara secara berhemat tanpa perlu membebankan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang?

Ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada eksport. Sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia bukan sahaja harus berwaspada kepada perkembangan dasar dan situasi ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah, malahan perkembangan dasar dan situasi ekonomi negara utama dalam rantau ini khususnya China juga mempengaruhi perkembangan ekonomi negara kita. Lebih rumit lagi, apabila eksport sebuah negara melibatkan import produk perantaraan sebuah negara lain yang digunakan oleh negara tersebut untuk aktiviti eksportnya; eksport negara tersebut yang terjejas juga akan memberi kesan negatif kepada negara dari mana produk perantaraan diimport. Kitaran perdagangan dunia dan serantau bakal berubah apabila dasar ekonomi sesebuah negara berubah.

Hakikat hari ini ialah, sedangkan negara besar seperti China yang mempunyai populasi dalam jumlah bilion berhadapan dengan tekanan ketidaktentuan ekonomi yang besar meskipun pasaran domestiknya dianggap besar, ini kan Malaysia, sebuah negara kecil dengan populasi dalam jumlah jutaan. Apabila eksport menjadi terlalu lemah sehingga merencatkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan pekerjaan khususnya pengangguran pekerja asing, kalau bukan pinjaman dan defisit yang semakin tinggi risikonya (yakni di luar landasan tatakelola hutang dan defisit berhemat), apakah kerajaan yang melembukan kekayaan negara dapat mempertahankan pertumbuhan ekonomi dalam kadar 5-6% seperti yang diuar-uarkan oleh si Menteri Kewangan bangsawan?

Krisis ekonomi hari ini juga mengambil pelbagai bentuk sama ada melibatkan kerumitan sektor kewangan, tatakelola hutang awam, gelumbung hartanah (property bubble) dan sebagainya. Sebab itu, setiap krisis ekonomi besar lazimnya memperlihatkan tuntutan rakyat ekoran tekanan hidup yang besar dan juga terserlahnya masalah struktur yang dikaburkan pada keadaan biasa.

Malahan, dalam konteks menjelang PRU13, parti pemerintah yang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat mengorak langkah bukan untuk melakukan perubahan secara dasar, meningkatkan produkviti dan memajukan ekonomi negara tetapi memberikan wang kepada golongan tertentu, yang terkini RM500 untuk keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000. Yang tidak berkelayakan mesti tidak gembira, yang berkelayakan jangan pula membiarkan diri berada dalam keadaan gembira yang terlalu lama. Hal ini kerana kita sebagai rakyat negara ini tidak terlepas daripada pembayaran balik pada masa depan, khususnya apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan selepas PRU13. Tanpa pelaksanaan GST untuk mengambil balik wang rakyat yang kini diberikan kepada rakyat selepas PRU13, bagaimana sebuah kerajaan yang berada dalam defisit 14 tahun berturut-turut dan hutang awam mencecah 53% dapat bertahan lama? Lebih malang lagi, demi RM500 yang cukup sedikit berbanding dengan RM250 juta yang dilembukan, kita terpaksa menanggung beban yang lebih besar selepas PRU 13.

Apabila ditinjau dengan lebih lanjut, biarpun negara tidak berhadapan dengan krisis ekonomi, tamadun manusia memperlihatkan tuntutan masyarakat yang mahukan kemajuan. Konsep kebebasan dan keadilan menjadi penting dan cukup fundamental dalam konteks ini. Apabila dibicarakan isu hak asasi manusia, kita tidak memandang ringan keperluan pemeliharaan ketenteraan awam, tetapi konteksnya biar tidak tersimpang hanya kerana kita hendak membezakan diri daripada tamadun masyarakat yang lain.

Dalam mana-mana tamadun, pemerintahnya cuba mengaburkan isu hak asasi manusia dan mengaitkannya dengan isu ketenteraman awam, padahal yang dipentingkan oleh pemerintah ialah soal kelangsungan kuasa yang diperolehinya. Meninjau balik Malaysia, ini kan parti yang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat terbesar pasca 8 Mac 2008. Akan dilakukan segala yang kotor dan segala yang masih mampu mengaburkan mata rakyat terbanyak demi kelangsungan hayat, kuasa dan seterusnya mencari kesempatan melembukan wang rakyat untuk kepentingan diri.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Oon Jaafar pernah memimpin gerakan massa untuk menentang Malayan Union. Kini anak seorang Perdana Menteri yang juga seorang bangsawan cuba menutup ruang rakyat jelata berhimpun dan bersuara hanya kerana ketakutan. Takut kepada ulangan gerakan yang kita saksikan di Mesir atau BERSIH 3.0 maka dilembukan hak berhimpun dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 yang kononnya untuk memelihara ketenteraman awam. Takut kerana dituduh bersekongkol dalam kes Fitnah II maka dimatikan kemungkinan gerakan Reformasi II dengan pendekatan preemptory yang tidak demokratik.

Legasi gerakan Reformasi dapat diteliti dalam pelbagai dimensi. Tuntutan politik hanyalah sebahagian daripadanya. Apabila ditinjau kembali sejarah pembangunan Malaysia, pembangunan teknologi maklumat khususnya yang berkaitan dengan perkembangan Internet didorong kuat oleh gerakan Reformasi. Kalau perkembangan Internet di negara lain menyaksikan faktor ekonomi memainkan peranan utama, di bumi Malaysia, anehnya, faktor politik dan sosial yang mengangkat pembangunan masyarakat bermaklumat. Gerakan Reformasi telah menyumbang kepada perkembangan pesat Internet, sehingga hari ini, Malaysia berdiri teguh sebagai salah satu negara yang mempunyai bilangan pengguna Facebook yang paling ramai dengan perkembangan yang dinamik.

Tetapi ketakutan menular dalam hati sanubari elit UMNO yang mendominasi Kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini bukanlah UMNO yang Oon Jaafar kenali apabila beliau memimpin gerakan menentang Malayan Union. Ini UMNO yang mampu mengorbankan hak rakyat berhimpun dan bersuara dengan RUU Perhimpunan Aman dan RUU Lembaga Juru Komputer Profesional 2011 kerana ketakutan. Tidak cukup sekadar melembukan hak rakyat berhimpun, dikorbankan juga kebajikan rakyat terbanyak apabila pembangunan masyarakat bermaklumat dijadikan kepunyaan segelintir konglomerat sekali gus mematikan legasi gerakan Reformasi.

Tidak apa gerakan yang membebaskan rakyat terbanyak daripada kekaburan dan kebutaan maklumat dimatikan. Yang penting kelangsungan hayat, kuasa dan kepentingan elit politik dan UMNO-putra dapat dipertahankan. Namanya juga indah: Kononnya UMNO demi ketenteraman awam! Kononnya UMNO demi maruah Melayu!

Tetapi apa hakikatnya? Digadaikan maruah rakyat terbanyak, khususnya Melayu yang tergolong dalam kategori 60% berpendapatan rendah dan mahukan kemajuan termasuk pembelajaran Internet tanpa dikuasai golongan kepentingan golongan tertentu. Dengan wujudnya RUU Perhimpunan Aman yang menghalang gerakan yang bertentangan dengan kepentingan UMNO dan UMNO-putra, biarpun Melayu dilembukan peluang untuk mempelajari segala ilmu teknologi maklumat selaras dengan konsep merakyatkan ekonomi, jangan berharap untuk berhimpun demi kemajuan Melayu bermaruah! Kerana UMNO-putra mengekonomikan rakyat bukan merakyatkan ekonomi, sementara UMNO mewakili kepentingan UMNO-putra, bukan kepentingan Melayu bermaruah. Bukan juga semangat perjuangan UMNO yang asal.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Komen Anda

0 Responses to "Ekonomikan rakyat: RM500 diberi, RM250 juta dilembukan"