Thursday, 8 December 2011

BN tiada masalah guna dakwat kekal

Umno dan BN tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhasrat memperkenalkan sistem biometrik, penggunaan dakwat kekal ataupun mengekalkan sistem sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

NONEKetua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kaedah dakwat kekal yang ingin digunakan tidak mendatangkan sebarang kebimbangan kepada Umno dan BN kerana mereka tidak pernah menyalahgunakan sistem pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

NONEBeliau berkata perkara itu boleh dibuktikan pada pilihan raya umum 2004 di Kelantan yang menyaksikan Umno hanya mengalami kekalahanan satu kerusi dan PAS berjaya membentuk kerajaan negeri dengan dua undi majoriti di Dewan Undangan Negeri Kemuning dan Machang.

"SPR juga telah laksanakan pilihan raya dengan adil hinggakan pembangkang boleh menang lima negeri pada pilihan raya umum ke-12," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun mahu penggunaan dakwat kekal memenuhi tiga syarat, iaitu dipersetujui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, tidak boleh dibuang dengan apa jua jenis peluntur hingga tempoh tertentu dan tiada pihak yang cuba menyeludup masuk untuk tujuan penyalahgunaan pada masa pilihan raya umum.

"Telah nyata juga sebelum ini bahawa tiada bukti wujud pengundi hantu dalam mana-mana petisyen mahkamah pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang dibawa oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya," katanya.

Beliau berkata dakwat kekal yang ingin digunakan boleh dijadikan asas tambahan bagi membuktikan bahawa proses pilihan raya di negara ini adalah telus dan adil.

Beliau menambah kemenangan Umno dan BN tidak pernah bergantung kepada manipulasi keputusan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil untuk memerintah negara sejak dahulu lagi.

"Kemenangan kami adalah bermaruah dan benar. Selama ini kami menyerahkan kemenangan kepada kebijaksanaan pengundi membuat keputusan yang tepat setelah segala yang baik telah disediakan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata keputusan SPR untuk menggunakan dakwat kekal membuktikan proses pilihan raya di negara ini telus dan tiada ruang untuk penipuan dilakukan.

Katanya, keputusan untuk menggunakan dakwat kekal sebenarnya tidak perlu dilakukan di negara ini kerana setiap pengundi adalah terdiri daripada mereka yang berdaftar dan mempunyai kad pengenalan rasmi.

"Lainlah seperti negara-negara luar di mana mereka tidak mempunyai senarai daftar pengundi yang dikemas kini berbanding Malaysia," katanya.

Namun begitu, katanya kerajaan mengikut kehendak pihak pembangkang yang mahukan dakwat kekal digunakan kerana sering membangkit perkara itu kepada umum.

Katanya kerajaan juga mahu membuktikan bahawa tiada penipuan dilakukan dalam proses pilihan raya di negara ini walaupun terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi melaksanakan proses menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan pilihan raya dengan menggunakan kad pengenalan sebenarnya berkesan kerana dalam sejarah pilihan raya negara hanya berlaku satu sahaja kes penipuan mengundi dua kali dilakukan dengan menggunakan kad pengenalan.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan meneliti desakan sesetengah pihak dalam isu penggunaan dakwat kekal yang dikatakan tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana dakwatnya dikatakan kekal daripada dicuci untuk tempoh 48 jam.

Sementara itu, beliau berkata isu hudud yang ditimbulkan semula pembangkang terutama PAS sejak kebelakangan ini adalah kerana parti itu tidak mahu kehilangan undi daripada orang Melayu terutamanya di kalangan penyokong PAS sendiri.

Katanya isu hudud dijadikan modal utama kerana yakin mereka dapat mempengaruhi orang Melayu yang kini semakin menjauhi PAS.

Beliau meminta PAS supaya tidak mempermain-mainkan isu agama kerana ia memalukan umat Islam yang tampak sentiasa berselisih antara satu sama lain berbanding pengikut agama-agama lain di negara ini.

"Islam adalah agama yang menyatupadukan umat Islam dan bukan dijadikan alat sebagai memecahbelahkan rakyat terutamanya yang tinggal di kampung-kampung," katanya.


- Bernama

Komen Anda

0 Responses to "BN tiada masalah guna dakwat kekal"