Friday, 25 November 2011

UMNO perlu berbaik-baik dengan semua orang?

http://3.bp.blogspot.com/-dwjPoiQXpCA/TmngPrkBXGI/AAAAAAAAHS8/91yA35Iuias/s400/gula%2Bgula%2BBN.JPGBeberapa pemimpin UMNO berkata yang parti itu mesti berbaik-baik dengan semua pihak tanpa mengira siapa untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya yang akan datang. Beberapa orang pemimpin peringkat majlis tertinggi parti berkata UMNO tidak boleh mengasingkan mana-mana pihak.

Yang penting parti itu mendapat undi dan menang pilihanraya. Itulah di antara kata-kata pemimpin seperti Abd Rahman Dahalan, Bung Mokhtar, serta Idris Haron dan beberapa orang yang lain.

Semua yang memberikan komen ini menyatakan perkara yang satu, iaitu untuk mendapat undi. UMNO itu wujud seolah-olah hanya untuk mendapat undi maka itu sebabnya pemimpin-pemimpinnya harus berbaik-baik dengan semua orang tanpa mengira kaum, agama, adat resam dan budaya.

Betullah pandangan mereka ini. Tetapi UMNO tidak gemar pula apabila PAS berbaik-baik dengan DAP atau PKR. Nampaknya yang boleh berbaik-baik dengan semua orang hanyalah UMNO kerana UMNO sahaja yang patut mendapat undi. Kalau PAS berbaik-baik dengan DAP itu salah. Kalau UMNO berbaik dengan MCA itu salah dan meninggalkan perjuangan untuk Melayu dan Islam.

Dalam negara kita demokrasi ini agak pelik kerana masing-masing parti bercakap berbeza dengan siapa pemimpin mereka bercakap. MCA dan pemimpin utamanya Chua Soi Lek bercakap seolah-olah kita semua ini adalah rakyat yang bodoh dan belum lagi mengenali apa itu sekolah.

CSL memberi amaran yang rakyat jangan menyokong DAP kerana DAP tidak menyokong hukum hudud. Tetapi setakat yang semua tahu MCA lah yang menempelak PAS dengan kuat kerana PAS pernah membuat penekanan terhadap pelaksanaan hukum hudud. Tetapi CSL semalam berkata dengan jelas di genting highlands yang semua kemudahan perjudian akan di hapuskan jika PR mendapat tempat dan mandat dari rakyat dalam pilihanraya yang lalu.

Inilah caranya MCA selama ini berkempen tetapi sekarang taktik dan cara itu sudah tidak dipakai lagi kerana rakyat sedar yang masing-masing parti atau individu rakyat mesti menghormati di antara kaum dalam negara ini.

Rakyat tidak lagi termakan hasutan pemimpin-pemimpin yang terdesak seperti MCA itu. Lagi kita nampakan ‘desperation’ kita lagi jauh rakyat meninggalkan kita. MCA memang sedang dalam keadaan terdesak. Parti atau pihak yang terdesak selalunya akan melakukan perkara-perkara yang pelik-pelik.

Itulah sebabnya ramai pemimpin-pemimpin dunia bertukar menjadi diktator apabila merasakan yang mereka tidak mampu untuk bertahan di dalam sistem demokrasi negara mereka. Seseorang yang mengambil demokrasi sebagai wadah perjuangan dan pentadbirannya mereka selalunya mengambil penampilan populis. Tetapi penampilan populis ini ada had kepada sokongan rakyat terhadap mereka.

Ramai di antara pemimpin yang mempunyai semangat demokrasi yang tinggi selalunya akan meninggalkan jawatan mereka sebelum mereka menghadapi tekanan ini. Tetapi bagi mereka yang masih bernafsu untuk berkuasa mereka terpaksa melakukan legislation yang ketat terhadap rakyat dan secara beransur-ansur mereka menjadi diktator.

Dalam proses penerusan pentadbiran diktator atau demokrasi yang ala diktator itu berbagai-bagai cara dilakukan untuk menekan dan memaksa rakyat memberikan sokongan kepada mereka.

Di negara kita kerajaan dipilih melalui proses pilihanraya walaupun perlaksanaan demokrasi itu tidak berada di atas ‘level playing field’ dan hanya memberi ‘advantage’ kepada pihak yang memerintah.

Saluran TV perdana digunakan oleh pihak yang memerintah untuk mengutuk dan menekan pembangkang dan pihak pembangkang tidak diberikan masa yang secukupnya untuk menyampaikan message kepada rakyat. Pembangkang terpaksa berhempas pulas untuk mendekati rakyat dan ini merupakan satu pelacuran terhadap semangat demokrasi yangsebenar.

Seperti yang saya nyatakan tadi populariti seseorang pemimpin itu adalah terhad masanya dan selalunya pemimpin yang sedang memerintah akan dikalahkan apabila pemimpin itu susut sokongan dari rakyat ramai. Itulah yang berlaku terhadap Dr Mahathir kerana beliau sudah tidak mendapat sokongan bulat dari rakyat dan khususnya dari ahli UMNO suatu ketika dahulu.

Dr M hampir tertewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti dalam pertandingan bagi jawatan presiden UMNO pada tahun 1987 dahulu. Dari segi hakikinya Dr M sudah tidak mendapat sokongan padu dan banyak pemimpin negara demokrasi akan mengambil semangat demokrasi itu dan meletakan jawatan.

Margaret Thatcher tidak kalah dalam pemilihan pucuk pimpinan Consevative apabila Hasseltine menandingi beliau. Tetapi oleh kerana kemenangan Thatcher itu tipis maka Thatcher meletakan jawatan dan itulah lorong yang luas yang membolehkan John Major mangambil alih tempat beliau sebagai PM Britain.

Mahathir mengambil sikap tidak mahu berhenti malah beliau mengambil tindakan menekan pemimpin-pemimpin yang beliau rasa akan menggugat beliau kerana mahu terus menjadi orang yang berkuasa di negara ini.

Beliau mengambil kesempatan di atas tindakan sebahagian ahli UMNO di mahkamah dengan membiarkan UMNO di haramkan dan dengan cepat menubuhkan UMNO baru. Tunku Abdul Rahman, Husein Onn serta ramai lagi pemimpin asal UMNO meninggal dunia semasa mereka berada di luar UMNO.

Dengan penubuhan UMNO baru itulah Mahathir memperkuatkan dirinya dan tidak mahu lagi sesiapa menyaingi beliau dalam kepimpinan UMNO. Maka dari saat itulah timbul mereka yang lemah-lemah untuk mengganti beliau semasa beliau turun dari kuasa, termasuklah Pak Lah dan Najib yang ada pada hari ini.

Kelemahan kepimpinan dalam UMNO ini jugalah menjadi rungutan Dr Mahathir pada hari ini tetapi beliau tidak mahu mengakui yang segala-gala kelemahan ini terbit dari tindakan beliau yang hanya memikirkan kekuatan peribadi beliau sahaja dari kekuatan parti pimpinannya. Apa yang Mahathir mahukan semasa beliau berkuasa ialah ‘yes men’ yang sanggup memberikan ‘amusement’ peribadi kepada beliau.

Sejak dari itu berpusu-pusulah ahli-ahli UMNO yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin timbul sebagai pemimpin dengan hanya menggunakan kuasa wang mereka dan ampuan mereka yang kuat terhadap pemimpin yang merasakan dirinya sudah tidak mendapat sokongan lagi. Budaya itu hidup mekar sampai kehari ini.

UMNO seperti yang diakui oleh Dr Mahathir di dalam wawancara beliau dengan Utusan hari minggu yang lepas hanya mampu mengumpulkan ramai pemimpin yang lemah dan keliru tentang perjuangan parti mereka. Dr Mahathir mempunyai saham yang sangat besar di dalam membentuk UMNO yang lemah pada hari ini.

Dalam wawancara Dr M dengan Utusan pada hari minggu lepas saya nampak apa yang beliau perkatakan itu hampir lengkap. Untuk melengkapkannya Dr M sepatutnya berkata lebih kurang begini, “semasa saya menjadi presiden UMNO dan PM saya telah membuang pemimpin-pemimpin yang saya anggap boleh menyaingi saya secara sistematik. Saya tidak suka kepada siapa yang saya anggap boleh mencabar saya. Maka saya hanya ambil mereka yang boleh mendengar kata. Rupa-rupanya negara akhirnya hilang kepimpinan kerana yang berwiba itu telah saya ketepikan dari awal secara beransur-ansur.

Barulah lengkap wawancara itu dan barulah dapat kita tahu kenapa UMNO dan negara sudah hilang kepimpinan sehinggakan rakyat sudah menolak UMNO itu sebagai sebuah parti yang mempunyai ‘attribute’ sebagai parti pemerintah.

Apabila kita faham ini tidak payahlah lagi penyokong-penyokong UMNO melatah dan memaki hamun pembangkang dengan kata-kata nesta yang hanya keluar dari orang-orang yang kurang temaddunnya.

Oleh Aspan Alias (detikdaily)

Komen Anda

0 Responses to "UMNO perlu berbaik-baik dengan semua orang?"