Friday, 25 November 2011

Mahasiswa dibenarkan berpolitik

ukm 4 challenge auku uuca 280910 bannersSeksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

"Di atas segalanya, kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.

"Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority', kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik," katanya semasa membentangkan usul bagi memansuhkan tiga perisytiharan darurat berusia lebih 40 tahun di Dewan Rakyat pagi ini.

Namun tegasnya, kebenaran itu hanya terhad kepada mereka yang berumur 21 tahun dan ke atas sahaja dan mereka masih tidak boleh membawa politik kepartian ke kampus.

Najib berkata kerajaan juga akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tahun lalu.

Katanya keputusan tersebut menpunyai implikasi terhadap prinsip undang-undang negara.

Pada 31 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim itu memutuskan seksyen tersebut tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Larangan pelajar terbabit dalam politik diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1971. -MK

Komen Anda

0 Responses to "Mahasiswa dibenarkan berpolitik"