Monday, 28 November 2011

ABIM mahu PM hormati rakyat

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pentadbiran Najib menghormati suara rakyat, bukannya mundur dalam memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan Perlembagaan Perrsekutuan.

Presidennya Amidi Abd Manan berkata, setelah menilai dengan mendalam, ABIM ingin meluahkan bantahan terhadap rang undang-undang tersebut.

Rang undang-undang itu dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat Selasa ini.

Ekoran bantahan, Kabinet setakat Jumaat lalu telah memutuskan untuk meminda sekurang-kurangnya tujuh peruntukan rang undang-undang itu.

“ABIM menilai peruntukan-peruntukan tersebut bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan berhimpun.

“Antara peruntukan-peruntukan tersebut ialah notis 30 hari (dalam draf asal) diwajibkan ke atas penganjur sebelum tarikh perhimpunan dalam Fasal 9 Undang-undang Perhimpunan Aman 2011,” kata beliau.

Katanya, ABIM juga menuntut penjelasan serta rasional di sebalik larangan mengadakan perhimpunan di rumah-rumah ibadat seperti masjid untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Malah tegas beliau, ABIM juga memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan.

“ABIM khuatiri menerusi peruntukan tersebut (Fasal 15 dan 21), ia akan membuka ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan,” katanya.

Amidi menambah, dunia sedang bergerak ke hadapan memperkemas dan memperkasa elemen-elemen kebebasan, keadilan, dan hak asasi manusia, langkah-langkah ini dinilai seakan sengaja mengambil langkah untuk berundur ke belakang untuk menafikan hak asasi rakyat Malaysia.

Dalam hal ini katanya, ABIM ingin menegaskan pendirian bahawa kebebasan dan ketenteraman awam merupakan hak asasi seluruh rakyat Malaysia dan ia perlulah dilaksanakan dengan semangat dan komitmen demokrasi yang tinggi.

“Seharusnya sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

“Sesungguhnya sebarang maklum balas dari institusi masyarakat sivil juga tidak wajar ditanggapi dengan persepsi yang negatif,” katanya.

Sebarang penafian terhadap hak serta sekatan yang berkaitan akan memberikan persepsi yang negatif di kalangan rakyat terhadap pemerintah, tambah Amidi.

“ Dikhuatiri sekiranya Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 dilaksanakan, ia hanya akan memberi implikasi yang kurang menyenangkan terhadap perjalanan konteks hubungan rakyat-pemerintah itu sendiri di samping perkembangan demokrasi secara sihat di negara ini,” katanya. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "ABIM mahu PM hormati rakyat"